4 Sebab Kenapa Tanda Suka dan Komen di Media Sosial Penting Untuk Perkembangan Profesional Anda
Pernahkah anda berbual dengan rakan-rakan dan mendengar mereka mengeluh tentang individu yang suka meluahkan pendapat di media sosial berkenaan isu semasa?
Atau pernahkah anda menonton video di laman sosial dan berkata, "Eh, biar betul?" atau "Macam mana lah benda macam ni pun boleh viral? Aku pun boleh buat!"
Saya tahu ramai antara kita mudah membuat kesimpulan yang bahan seperti ini dibuat hanya sekadar untuk meraih lebih banyak "TANDA SUKA" dan "KOMEN". Yang menonton kebanyakannya akan menikmati hiburan tersebut atau menilai hantaran sebegini sebagai cara untuk mendapat lebih tontonan atau perhatian.
Berdasarkan pemerhatian saya, pendapat sebegini boleh dilihat di ruang digital tempatan dan antarabangsa, maka ia bukanlah berkaitan dengan budaya. Ia merupakan sesuatu yang semulajadi, kita berpandangan yang personaliti seseorang itu di media sosial menggambarkan dirinya yang sebenar di luar. Sekiranya seseorang itu gemarkan perhatian di luar, apa sahaja yang dilakukannya di medsos akan dilihat sebagai sesuatu untuk meraih perhatian juga, kan?
Tapi dalam kehidupan sebenar, bukankah kita semua mahu untuk DISUKAI? Itu merupakan sifat semulajadi manusia. Sama ada anda suka atau pun tidak, inilah kebenarannya. Kita semua adalah makhluk sosial yang memerlukan penerimaan daripada orang lain. Semudah dipuji tentang pemakaian kita pun dah cukup membuatkan kita tersenyum sepanjang hari!
Walaubagaimanapun ini bukanlah perkara yang ingin saya ketengahkan untuk topik ini. Jom bincangkan kepentingan 'TANDA SUKA' digital yang dilihat hanya sebagai satu simbol tanda sokongan. Saya berharapkan agar perbincangan di bawah bakal merubah perspektif anda tentang sebab TANDA SUKA dan KOMEN begitu penting bukan sekadar kepuasan diri sendiri, bahkan untuk perkembangan karier profesional:
1| Nilai Digital Mempengaruhi Keyakinan
Menurut Pengasas OpenMinds, Jan Wong, kehadiran digital menentukan nilai digital anda. Dalam dunia teknologi kini, di mana internet adalah 'rumah' kedua kita, pernahkah anda terfikir berapakah nilai anda secara digital? Berapa kerap anda muncul di media sosial dan membentuk satu persona yang boleh dikaitkan dengan diri anda? Untuk menganggap setiap hantaran yang dikongsi atau ditulis adalah gambaran sebenar diri anda adalah kurang tepat, namun sokongan yang diterima hasil penulisan tersebut sedikit sebanyak menyumbang nilai digital kepada kehadiran anda. Nilai ini boleh meningkat sehinggakan orang ramai akan ternanti-nantikan pendapat anda setiap kali isu baru timbul.
Inilah antara sebab kenapa selebriti yang mempunyai bilangan pengikut yang ramai mampu mempengaruhi keputusan membeli orang lain tanpa bersusah-payah. Pengikut yang ramai membawa kepada peningkatan TANDA SUKA dan KOMEN, maka Kesan Bandwagon tercetus di sini.
Bagaimanapun itu tidak bermaksud yang anda perlu menjadi seorang selebriti untuk mendapatkan kesan yang sama, anda hanya perlu memperbaiki nilai digital agar lebih mudah diterima dengan cara berkongsi maklumat atau menyatakan pendapat pada isu-isu tertentu secara kerap, terutama sekali dalam bidang kepakaran anda. TANDA SUKA dan KOMEN yang diterima bakal mempengaruhi nilai keyakinan orang ramai terhadap anda.
2| Menghasilkan Lebih Banyak Sumber Pendapatan
Sekiranya anda berpendapat yang kita perlu bekerja dengan waktu bertugas 9pg-5ptg sahaja untuk mencari makan, nampaknya anda masih tinggal dalam era 90-an.
Mungkin jangkaan anda untuk menyaksikan kereta terbang pada tahun 2020 tidak menjadi kenyataan tetapi pernahkah anda terfikir tentang 'wang terbang'? Ya – zaman sekarang wang boleh terbang, malah ia terbang merentasi dunia melalui alam digital! Tapi anda mungin tertanya, bagaimana untuk membuatkan ia terbang? Secara teknikalnya, anda boleh bekerja dengan syarikat luar negara walaupun tinggal di rumah di Setapak, KL (bukanlah sesuatu yang baru), tetapi berapa kerap anda jumpa rakyat Malaysia yang bekerja dengan cara ini? Dengan peningkatan kos sara hidup dan evolusi digital yang semakin pantas, masyarakat kini berusaha mencari cara untuk meningkatkan pendapatan melalui bayaran dalam nilai matawang asing. Salah satu caranya adalah dengan membuat saluran untuk membawa orang ramai masuk ke pautan yang mengundang mereka untuk membaca, menonton atau mendengar kandungan digital yang telah dibuat. Ini akhirnya akan menjana pendapatan melalui hasil pengiklanan, yang boleh jadi terdiri daripada sumber tempatan dan antarabangsa. Atau sekiranya anda menjalankan perniagaan, ini adalah cara yang bagus untuk mempromosi atau membawa prospek pembeli untuk melihat produk anda.
Oleh itu, saluran tersebut adalah sangat penting dan anda dapat mengukuhkan lagi saluran tersebut melalui TANDA SUKA dan KOMEN. Mendapat lebih banyak TANDA SUKA dan KOMEN pada hantaran anda bermaksud akan ada lebih ramai orang yang bakal memasuki zon pendapatan anda, jadi janganlah meremehkan kuasa 'ibu jari' ini!
Inilah juga punca agensi pemasaran (atau produser filem tempatan) kini mencari Influencer mikro dan makro – mereka sebenarnya mencari orang yang mempunyai ramai pengikut, TANDA SUKA dan KOMEN kerana ini memberi persepsi yang lebih banyak reaksi yang diperolehi oleh Influencer tersebut, maka lebih besarlah pendedahan yang diterima produk mereka.
Dan sekiranya lebih luas pendedahan yang diberi oleh seseorang Influencer, lebih besarlah peluang pendapatan yang bakal diperolehi!
Sumber:
https://www.businessnewsdaily.com/2377-social-media-hiring.html
https://www.theukdomain.uk/why-engagement-rates-are-important-on-social-media/
https://www.adcocksolutions.com/post/the-bandwagon-effect
0 comments:
Post a Comment